RSS

Category Archives: untuk kita semua…

Minda itu perlu bercambah..

Assalamualaikum..

Saya di India hanya mampu melihat melalui Youtube, blog-blog, laman web akhbar semasa (samada yang berpihak kepada kerajaan atau pembangkang) akan isu-isu semasa berlaku di negara. Dunia dah maju, maka gunakanlah segala kemodenan yang ada untuk mendapatkan manfaat. Pesanan itu dari En. Khairuddin Abdullah, bekas Konsul Pelajaran di Kedutaan Malaysia di Chennai, India. Keputusan kes liwat II Dato’ Seri Anwar Ibrahim saya ketahui melalui komputer riba sambil memasak nasi lemak di dapur rumah sewa.

Masa kini, saya berpandangan sebahagian generasi muda kurang pengetahuan am dan juga pengetahuan dalam isu-isu semasa. Tak kiralah isu politik, isu ekonomi, kebajikan rakyat dan segala yang seangkatan dengannya. Masing-masing hanyut dalam lautan hiburan, kononnya hendak melepaskan tekanan belajar. Baiklah, itu alasan mereka. Tapi, tahukah mereka, bahawa betapa pentingnya mereka ambil kisah akan setiap yang berlaku dalam sekitar mereka? Tidakkah kita berasa malu jika ada anak muda yang tidak tahu akan apa yang berlaku dalam isu semasa negara? Lagi memalukan apabila ada rakyat Malaysia tidak mengetahui siapakah Yang DiPertuan Agong.

Sewaktu zaman sekolah menengah saya, keadaan berbeza. Kami mengetahui akan hal ehwal semasa. Kes Abdul Razak Baginda dengan pembunuhan Altantuya kami ambil tahu. Nama-nama menteri kabinet kerajaan kami tahu. Pandangan pihak pembangkang mengenai isu semasa kami cari melalui internet dan akhbar. Dan ini paling menarik, guru Bahasa Melayu kami akan memulakan kelas dengan kupasan isu semasa dan pelajar diberikan peluang untuk melontarkan idea dan pandangan. Pelbagai kenyataan dikeluarkan. Ada yang kelihatan menyokong kerajaan, ada yang menyokong pembangkang, adan ada yang bersifat neutral. Apa yang menarik ialah guru kami akan membual kesimpulan terhadap perbincangan kami. Di hujungnya, kami dapat mengetahui pandangan sesuatu isu dari pelbagai sudut pandangan. Dan ini amatlah elok untuk akal yang sihat. Minda perlukan input dari sudut pandangan lain untuk ia bercambah agar ia terus waras, segar dan matang.

Salah satu aktiviti yang saya dan rakan-rakan saya yang lain (rakan yang sekepala) ialah ke perpustakaan, membaca majalah Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi, Pelita Bahasa, Dewan Siswa dan Dewan Sastera. Tujuannya, ialah supaya kami mendapat input sebanyak mungkin dalam hal-hal semasa. Ekonomi, politik, sosial, budaya. Kemudiannya, kami melanggan daripada seorang guru Bahasa Melayu kami, Cikgu Paridah Ali. Kemudiannya sekolah kami melanggan akhbar harian, satu untuk setiap kelas. Maka lagi mudah untuk kami mendapatkan maklumat. Jika ada masa, sambil membasuh baju, berjalan-jalan di taman bunga, atau ke masjid, kami akan berbincang dan bertukar-tukar idea tentang isu semasa. Sangat membantu. Menambahkan pengetahuan dan menjadikan kami untuk berfikir di luar kotak stereotaip. Dan menambah isi untuk karangan Bahasa Melayu kami. Ya, perangkaan dan statistik dari badan-badan tertentu menjadikan isi karangan kami lebih kukuh dari segi pembuktian.

Kelesuan minda amatlah kami takuti semasa di sekolah menengah. Setiap bahan bacaan yang ada yang berkaitan dengan perihal yang kami perlu ketahui, kami baca. Dari kulit ke kulit. Begitulah aktiviti kami. Rakan-rakan saya yang begitu setia dalam ‘amalan’ ini ialah Nik Mohd Ali atau kami panggil dia Nelly, Khalid Karsiman atau Kholid, Yufazlie Yusof atau lebih mesra dengan Palie, dan sekali-sekala disertai oleh Zakiran Zakaria atau Kirae. Saya berpendapat sangat bermakna, kerana minda itu sentiasa berpusing akan mencerna pandangan, fakta mengenai sesuatu isu. Masing-masing akan mengeluarkan padangan dan berdebat akan sesuatu isu. Dahulu isu minyak juga kami bincangkan, isu kewangan semasa dan penglibatan yahudi zionis dalam negawal kedudukan matawang dunia. Disitu kami kenal George Soros, IMF, tambatan ringgit. Sangat membuka minda kami.

Tetapi kini alangkah lesunya minda generasi muda. Manakan tidak. Novel-novel picisan bermotifkan cinta meleret-leret meleleh-leleh, sayu syahdu jiwang jiwa lara itu di tangan mereka. Jarang melihat anak-anak milenium menatap majalah atau buku-buku yang bersifat menggalak minda untuk berfikir. Memang ia menggalakkan industri percetakan novel, tetapi impaknya apa? Sehingga kini jika saya ke kedai buku dah membeli sejumlah majalah dan buku yang berkisar tentang isu semasa, ramai yang aka menjeling. Kenapa ini berlaku? Kerana mereka jarang atau tidak pernah untuk membaca dan mencerna akan makalah seperti itu. Novel-novel yang semuanya bertema cinta diborong. Hanyut dalam khayalan. Majalah dan buku hasil perahan pemikiran pemikir negara dibiarkan berhabuk dan menjadi peneman setia rak buku di perpustakaan sahaja. Buku-buku hasil pemikiran penulis luar negara juga kurang diterjemah kepada bahasa Melayu. Bukan sahaja tiada usaha di pihak swasta, tetapi juga di pihak Institut Terjemahan Negara. Kenapa? Jika diterjemahkan pun, berapa buah naskah yang akan dibeli. Segala usaha terjemahan tak berbaloi.

Jadi, cubalah isi minda kita dengan perkara-perkara yang berfaedah. Dengan pengetahuan yang jika dihitung, akan memberi faedah kepada kita. Percambahan minda itu menguntungkan. Mematangkan minda. Tidak menjadikan kita jumud dan tidak terkurung dengan satu sudut pandangan sahaja. Tidak menjadikan kita konservatif. Membuka minda kita untuk menerima idea lain. Itulah ilmu. Dan ia berhasil dengan matangnya pemikiran. Berpunca dari mana dan bagaimana kita mengisi minda kita. Apa yang kita baca dan apa yang kita dapat dari pembacaan kita.

Membaca memajukan minda untuk memacu bangsa kepada berjaya.

Sekian~

 

Hari raya~

Assalamualaikum~

Pagi ini, maka disebahagian tempat di dunia sedang menyambut Hari Raya Aidiladha, juga dikenali dengan Hari Raya Haji kerana pada masa ini juga sebahagian umat Islam ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji. Sebahagian lagi masih berada dalam 9 Zulhijjah, iaitu hari Arafah. Berbezanya hari sambutan bergantung kepada kaedah kiraan dan perbezaan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak bertanggungjawab yang menguruskan hal ehwal agama Islam.

Hari ini di di Malaysia tercinta, hari raya Adiladha disambut. Upacara korban berjalan di sana-sini. Kambing, lembu, unta dikorbankan. Gotong-royong dalam menumbangkan haiwan korban, melapah dan mengagih daging. Sangat bekerjasama. Kami di India masih berada dalam 9 Zulhijjah. Ini disebabkan oleh perbezaan pengiraan yang kami tak faham sangat. Cuma bila ditanya kepada penduduk Islam setempat di masjid berdekatan, mereka memberitahu Hari Raya Aidiladha atau Bakr Eid jatuh pada hari Isnin dan hari Ahad ialah hari Arafah.

Apa pun, dalam hari raya Aidiladha membawa tema pengorbanan. Berasaskan kepada pengorbanan Nabi Ibrahim as yang diperintahkan untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail as. Dan saat disembelih itu, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan kibas. Jadi, intipati kepada pengorbanan itu perlulah diketahui dan dihayati. Tidak salah untuk menyambut dengan mengadakan jamuan makan dan aktiviti selainnya, asalkan tidak lagha dan tidak terkeluar dari panduan berhibur yang digariskan dalam Islam. Lagipun ia adalah hari raya, kita dibenarkan bersuka-ria, selagi mana ia tidak menjadikan kita lalai.

 

 

 

Pengorbanan bukan sahaja diertikan dengan kita pergi menyembelih haiwan korban dan lihat darah mengalir, dan kita boleh mendabik dada mengatakan bahawa kita telah berkorban. Maksudnya melebihi dari itu. Bagaimana kesanggupan kita mengeluarkan harta untuk membeli bahagian korban, kita membahagikan sebahagian kepada fakir miskin. Jika tidak melakukan korban seperti kami di India, mungkin berkorban tenaga dan masa dalam membuat persiapan dan melaksanakan sambutan hari raya itu boleh diletakkan dalam pengorbanan. Kesempitan kita dalam menafsirkan sesuatu perkara dalam agama itu kadang-kadang menjadikan Islam itu begitu sukar, sempit dan jauh untuk didekati oleh mereka yang kurang mendalami dan kurang berpengetahuan dalam Islam dan juga non-muslim.

Apapun, selamat menyambut Hari Raya Aidiladha. Taqabbalallahu minkum.

 

 

 

Rupa-rupanya…

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Kali nie nak kongsikan kegembiraan dan perasaan aku. Kali ni betul2 dapat rasa apa itu nikmat balik Malaysia.

Sebenarnya entri ini ditulis atas sebab aku balik Malaysia. BALIK MALAYSIA!!!! Tanah airku yang terchenta!! Dah setahun kot tak balik. Rindu ada jugak. Semalam masa kat airport kat Bangalore, rasa malas sangat nak balik. Rasa nak dok kat India aje selama setahun lagi. Tapi, tiket dah beli. Dah sampai airport pun. So, balik aje la. Terima Kasih kepada Aizuddin@ Din, Radhilan@Mat Le, Naqib dan Pejai kerana memaksa aku balik ke Malaysia. Kalau tak, tak ada la entri nie kan?

Sepanjang penerbangan ke Kuala Lumpur, LCCT, (naik AirAsia aje, tak mampu nak naik MAS..) aku tido aje selepas 5 minit take off. Tido punya tido, bangun aje tanya pramugari, dah 3/4 perjalanan. Woohaaa!! Letih la katakan, dok simpan barang2. Aku tak order makanan atau minuman. Nak benda pertama masuk dalam tekak aku ialah makanan atau minuman dari Tanah Melayu. Hasrat tercapai apabila minuman pertama aku ialah air 7UP dari KFC LCCT. Alhamdulillah. Sangat menyegarkan dan lain sekali rasanya. Penuh dengan nikmat dan keberkatan!!! Alhamdulillah Ya Allah kerana mengurniakan aku sebagai rakyat Malaysia. Dah kebuntalan membedal ayam KFC 3 ketul, Hot n Spicy, pegi solat Isya’ n Maghrib jamak takhir n lepas tu lepak2 sambil amek New York Cheese Cake n Ice Blended Mocha. Sangat best n nikmat.

Patut la kawan2 aku seperti Din, Mat Le, Izwan, Fikri takmau balik India. Malaysia sangat-sangat dilimpahi dengan nikmat dan berkat. Rezeki mencurah-curah macam hujan daaa.. Mungkin aku rasa sangat sebelum ni sebab aku kerap balik ke Malaysia. Enam bulan sekali, aku balik. Ni setahun tak balik, baru rasa kenikmatannya bila balik.  Lepas ni tak nak balik Malaysia selama 2 tahun. Lagi nikmat bila balik. Heavenn!!

New York Cheese Cake n Ice Blended Mocha~

 

Setakat ni aje. Nak rehat2 sambil surfing secara free. Nanti aku tulis lagi yea~

Salam~

 

Hamka..

Salam..

Semoga korang semua berada didalam rahmat dan berkat Allah swt. Terima kasih kepada mike2 semua yang sudi membazirkan masa anda yang bernilai untuk membaca entri dari seorang yang hanya ada kelulusan setaraf STPM. Tengok tajuk, fuuyyooo. Macam aku nak membicarakan perkara yang ilmiah dan berkaitan dengan sejarah dakwah dan keagamaan Islam tokoh Islam yang masyhur di Kepulauan Melayu, Buya Hamka. Bukan .. bukan dan bukan. Entri aku kali ni berkenaan dengan seorang penulis blog. Hamka jugak nama dia. Blog di Kereta Mayat. Tersohor jugak la dalam dunia maya dan fana ni.

Aku mula membaca blog dia masa duduk belajar A-Level kat KTT, Sepang. Dan sekarang aku masih baca blog dia. Dulu kena pegi kat Lab. Comp. kalau nak baca, takpun pinjam laptop kawan. Almaklumlah, masa tu tak ada laptop sendiri lagi. Sekarang, aku dah punyai laptop. Kat bookmark bar tuh, melambak blog ngan website aku tanda. Salah satunya, blog Kereta Mayat. Suka baca yang ditulis. Ada bernada lawak, ada pesanan bernada sarkastik (bunyi macam sarkas yang ada monyet gajah bagai), dan banyak lagi. Macam-macam adaaa. Banyak mengenai pesanan. Kadang2 simple mimple dan mudah nak diserap masuk kedalam kepala otak benak kita.

Terbaru enrti beliau tulis mengenai Demo BERSIH 2.0. Beliau tulis adalah berdasarkan pemikiran beliau sendiri. Apa yang aku faham daripada tulisan beliau itu adalah beliau menolak demo BERSIH dan mengajak kita berfikir sebelum kita menyertai demo tersebut. Enrti terbaru mengenai demo BERSIH jugak. Maka, dengan pandangan beliau yang menolak demo BERSIH, maka ramailah yang mengutuk dan mencaci. Samada menolak padangan Hamka tentang menolak demo atau mengutuk Hamka sebab tulis benda politik. Rasa nak gelak bila ada golongan yang butthurt muncul dan fatwa kaum kera (pinjam bahasa kau ye Hamka) digunakan untuk menolak pandangan Hamka. Dan kebanyakan daripada mereka yang menolak adalah yang bercakap mengenai demokrasi.

Nak gelak? Yelah, cakap sebab negara Malaysia ni negara yang berdemokrasi, maka wajarlah tindakan rakyat untuk menuntut hak dalam demokrasi. (Dalam demokrasi pun ada perkataan demo, so bolehlah berdemo. WOoohaaa!). Nak ketuk kepada golongan yang mengalami butthurt nie, demokrasi tu boleh untuk menyuarakan pandangan korang aje ke? Setiap orang ada hak untuk bersuara (bak kata fatwa golongan ini). Jadi, Hamka pun ada jugak ruang untuk bersuara. Dia nak sampaikan pandangan dia, ada salah. Lainlah kalau ada sesapa yang mengalami butthurt selepas membaca entri tu, dia akan kata la Hamka tak payah nak tulis pasal politik sebab nanti akan berat sebelah, Hamka sesuai cakap pasal agama aje. Golongan kera ini yang memakai fatwa kaum kera demi mengelakkan daripada kena butthurt lagi. Salahkah Hamka mempunyai pandangan dia dalam politik.

Bila pandangan Hamka berpihak pada menolak demo, terus dikatakan sebagai Ustaz UMNO. Pehal nie?! So, yang dok bangkang Hamka tu Ustaz Pas, PKR la yea? Kaum2 fanatik ni sentiasa nak orang berpihak pada mereka. Macam segala yang dibuat mereka itu mempunyai dalil dan nas yang jelas, shahih dan qat’ie mengatakan kena buat begitu begini seperti mereka. Kenapa tak boleh nak berbeza pendapat? Sebab nanti dpat butthurt? Hahahaha. Kita sibuk nak orang lain dengar akan apa yang kita nak kata dan terima perkataan kita, tetapi kita tidak mahu mendengar dan berlapang dada dengan perkataan orang lain. DEMOkrasi kah itu? Nampaknya fatwa kaum kera diamalkan berpandukan “sunnah” kaum kera. Bila dikata fanatik, mula melenting kata itu ini.

Entri ni bukan apa, aku nak menggunakan hak aku dalam DEMOkrasi untuk bersuara sebab sepertimana yang kita ketahui, kita semua ada hak untuk bersuara. Jadi, aku mengeluarkan suara aku. Aku bukan apa, Hamka hanya menyatakan pandangan dia tentang BERSIH, jadi kalau kita bersikap terbuka, kita terima tu sebagai pandangan dia. Kalau kita bersikap jumud macam katak dalam tanah, kita akan menolak. Lebih2 lagi mungkin ada yang akan menyerang balas. Aku nak katakan kat sini, HORMAT PANDANGAN ORANG LAIN. Mungkin kau tak nak bersetuju, tapi terima hakikat bahawa tu pandangan dia. Setiap orang dibolehkan untuk berbeza pandangan kecuali dalam perkara akidah Islam.

Papepun, hari dah semakin siang. Nak mandi dulu. (Tulis entri ni lepas solat subuh..). Kalau korang nak terima apa yang aku kata, terima aja. Nak tolak pon boleh. Kalau korang tegur tanda korang ada tahu mana kelemahan aku. Kalau korang hentam balik aku, tanda korang dah mengalami butthurt. hahahahaha.

Sekian, trimas..

 

Demo jugak!!

Salam~

Entri kali ni mungkin macam selepas apa yang berlaku di tanah air kit yang tercinta, Malaysia. Pada 9 Julai lalu (semalam), negara menyaksikan perhimpunan ramai rakyat yang menuntut pilihanraya yang bersih, iaitu perhimpunan BERSIH. Hal ni dah masuk dalam CNN, Al-Jazeera, The New Indian Times, dan macam2 lagi media, media cetak ke, elektronik ke apa ke. Tapi kali ni aku tak nak bercakap pasal demo tersebut. Kalau nak tahu, bukak semua media yang ada, google sendiri. Kalau aku tulis nanti mungkin ada berat sebelah. Kali ni aku nak tulis pasal berdemo di negara lain.

Mesir kembali berdemo. 8 Julai 2011, ribuan rakyat Mesir memenuhi kembali Dataran Tahrir sebelum solat Jumaat. Berhimpunnya mereka kerana inginkan Majlis Tentera mempercepatkan proses demokrasi yang dijanjikan. Ramai orang awam yang tidak bersalah ditahan tanpa dibicarakan selama bertahun2. Jika dibicarakan, di Mahkamah Tentera. Ini adalah tidak adil. Hosni Mubarak juga masih berkeliaran bebas. Rakyat mahukan Mubarak dan ahli2 kabinat dibicarakan atas rasuah dan kesalahan2 yang mereka lakukan dalam menjahanamkan negara Mesir. Isu Mesir ini saya tahu selepas seorang sahabat saya memberitahu dalam twitter dengan “hashtag” #8July.

Di Bahrain, apa yang berlaku adalah sebaliknya daripada yang dilaporkan oleh media. Golongan Syiah di Bahrain cuba untuk mengambil alih kerajaan yang ada (Sunni) dan menjadikan Bahrain di bawah Syiah. Di Syria dan Libya, golongan Sunni bangkit untuk menjatuhkan kerajaan Syiah yang bertindak zalim keatas rakyat. Di Bahrain, media memaparkan akan keganasan polis menyuraikan penunjuk perasaan. Tetapi, media menyembunyikan akan keganasan penunjuk perasaan membunuh polis, membakar kereta polis, menyekat dan membaling batu ke arah ambulan yang membawa orang Sunni di dalamnya. Media tidak memaparkan akan perhimpunan rakyat yang menyokong kerajaan Bahrain yang sedia ada sekarang. Media utama seperti Al-Jazeera tidak memaparkan ini dalam berita mereka. CNN, BBC dan segala media antarabangsa senyap akan sokongan rakyat terhadap kerajaan Bahrain. Kemasukan tentera Saudi ke Bahrain adalah untuk menjamin keamanan. Di Facebook, di muat naik gambar “al-Quran” yang sudah sebahagian terbakar. Lalu di maki, laknat tentera Wahhabi. Persoalannya, adakah mereka tahu apa yang sebenarnya berlaku? Adakah mereka sedar Syiah cuba mengambil alih Bahrain? Tokoh Syiah, Ali Salman (ex- Senator dan pemimpin Hizbullah di Bahrain) dan Hadi Al-Modarresi ( Pemimpin Islamic Front for the Liberation of Bahrain) merupakan dalang dalam kekecohan di Bahrain.

Di Libya, Muammar Gaddafi yang dikatakan seorang Syiah memerintah dengan kejam. Bangkit rakyat menentang dibalas dengan tembakan. Askar upahan dikerahkan untuk menjaga “keselamatan negara”. Rakyat ditembak, dibom dan ditahan apabila bangkit menentang kekejaman Gaddafi. Di Syria, Presidennya, Bashar Al-Assad merupakan seorang Syiah dan memerintah dengan kuku besi. Beliau menjadi presiden pada umur 34 tahun, dan ini belaku apabila undang2 negara diubah dengan had umur untuk menjadi presiden mesti sekurang-kurang 40 tahun, diturunkan kepada 34 iaitu umur beliau. Memerintah dengan sekular dan tidak adil terhadap kaun Sunni. Ramai yang terbunuh dan cedera dalam bangkit menentang pemerintahan presiden Bashar Al-Assad.

Mungkin daripada tulisan diatas, anda semua nampak seolah-olah saya membenci Syiah. YA, SAYA MEMBENCI SYIAH. Mereka pandai berpura-pura dihadapan kita. Mereka menyatakan kepada kita bahawa mereka juga Islam. Mereka berkata mereka juga mempercayai akan Al-Quran dan Hadith. Tetapi itu semua BOHONG dan TIPU semuanya. Maulana Mohd Asri menyatakan bahawa Syiah ini tidak boleh digelar sebahagian daripada Islam. Mereka adalah sebenarnya satu agama baru. Dengan menolak Al-Quran, Hadith, mereka sebenarnya sudah terkeluar daripada Islam. Mereka mendewa-dewakan imam2 mereka. Menyatkan bahawa Allah swt memberikan separuh daripada pengetahuan (berkenaan dgn hal2 ghaib) kepada imam2 mereka. Ini adalah melampaui batas dalam Islam.

Muncul golongan Syiah menjadikan saya risau akan hal semasa. Mereka cuba memasuki dan menguasai negara2 dengan alasan mereka juga Islam, mereka ada hak. Tetapi mereka memporakperandakan negara. Kepada semua, berhati-hati dengan Syiah. Mereka baik didepan kita, tetapi mereka menunggu masa untuk menikam kita dari belakang.

Sekian~

p/s: Nasib baik semasa perarakan BERSIH tak ada orang bawak gambar Khomeini atau Hassan Nasrallah.

 
Leave a comment

Posted by on July 10, 2011 in Psyco aku.., untuk kita semua...

 

Seni aku cintai..

Selamat sejahtera diucapkan kepada para pembaca sekalian. Semoga anda sentiasa dilindungi bumbung, berlantaikan bumi. Kalo ada karpet, lagi best kan? Papepun, semoga apa yang diberikan kepada kita tidak menjadikan kita lupa kepada TUHAN kerana dia yang telah memberikan kita segalanya.

Minggu lepas sangat bermakna kepada aku. Sebab? Kali pertama dok nyanyi atas pentas. Dah la depan VIP yang bukan calang2. Bekas ahli politik Davangere, Konsul General dan ahli dari Chennai, pengetua-pengetua kolej, prof2 dan kawan2. Benda ni ada dalam entri aku yang lepas, pasal Annual Grand Dinner MSA Davangere 2011. Jadi Juara atau Tok Jogho untuk kumpulan dikir barat bukannya senang. Nak kena ‘tune’ suara leklok, nak kena hafal lirik (tapi malam tu aku tengok aje lirik kat henpon aku..hakhakhak..). Dah abes persembahan, ramai dok pakat (istilah kelantan) puji. Puji untuk overall persembahan, bukannya suara aku sebab bila aku tengok balik video persembahan aku, macam hampeh suara.

Jadi, untuk mengatasi masalah itu, sekarang ni aku dalam usaha untuk memantapkan vokal suara aku. Hahahahaha! Mesti korang nak gelak kan? Tak pun ada yang dah nak termuntah. Ade aku kesah? Sekarang ni pagi2 masa berjalan nak pergi bersarapan kat mess, aku pasang lagu dikir ngan mp4 aku. Sambil tu nyanyi dengan suara aku. Nak sampai pitch suara macam Megat Nordin, Halim Yazid, Arwah Cikgu Naim, Jali Bunga Tanjung, Abe Man, Abe Udy? Sampai masuk kubur tak dapat aku. So, try la adjust ngan suara agak base ni dengan lagu-lagu dikir yang tersohor dibibir dan telinga budak kelantan atau bukan kelantan. Balik bilik, dah bosan baca buku, bukak karaoke Anuar Zain dan karok sepuas-puasnya sampai “terbiut” suara aku. Malu gilerr!! Tapi demi memantapkan suara, itulah yang aku kena hadapi.

Kenapa buat benda gila nie? Hehehe.. Sebab sekarang ni aku dah “naik syeikh” untuk menyanyi dan berdikir. Gila nak berdikir la katakan. Dok cari lagu itu ini dalam laptop. Kalo tak ada, bukak aje 4shared, search kat sana. Lalu bermulalah dunia dikir aku. Nak lepas gian dikir, lalu berdikirlah aku sewaktu mandi, nak pegi makan, naik scooter, basuh scooter, ambik air dalam fridge n masa dok study mahupun melayari intenet! hahahaha.. sangat gila kan? Aku minat berdikir bukan sebab aku gila. Sebab aku minat. Sebab aku terkejut kerana aku baru sedar bahawa dikir barat dah dibawa oleh anak Kelantan ke seluruh dunia. Di Korea, Jepun, Indonesia, India, Republic Checz, UK, US dan lain-lain negara. Dikir barat adalah satu seni persembahan nyanyian yang tak lepuk dek hujan, tak lekang dek panas. (Gitu skali nah!!). Jadi, aku berbangga sebagai anak Kelantan. Ada seni budaya warisan yang unik. Kalau di Borneo, aku kagum dengan tarian buluh. Diorang boleh lompat-lompat tapi tak kena pulak kepit kaki tu. Johor dengan kuda kepang dan zapin. Yang lain tu korang tahu2lah sendiri. Kata ambik sejarah ngan kajian tempatan masa sekolah dulu.

                                                                  Halim Yazid

Walaupun aku minat nyanyi lagu-lagu omputeh dan jugak lagu-lagu melayu, aku tetap terpikat pada seni tradisional. Mujur aku tak buat macam Mek Siti Salam Pantai Timur. Dia dulu pernah belajar di sekolah aku, SMSTMFP. Disebabkan dia minat sangat dengan persembahan atas pentas, teater, dia kuar sekolah tu. Dia sambung belajar di ASWARA dan ada degree law lagi. Jadilah dia sebagai seorang anak seni. Aku nak jugak belajar seni, tapi secara sambilan aje. Sekarang dah ada intenet laju, Google, YouTube, 4shared, mediafire dan segala-gala, bole aje belajar tengok dalam wikipedia dan jugak blog-blog. Kan senang. Kata En. Khai, Konsul Pendidikan JPA kami di India, “Gunakan teknologi dengan sebaiknya”.

Maka, harapan aku agar kita tak melupakan adat seni budaya bangsa. Biarpun kita maju, biarlah ada lagi kita genggam erat seni warisan kita agar generasi depan tahu apa itu rebab, rebana dan kertuk. Majulah seni untuk bangsa!!

                                                  Ni lah aku pada malam persembahan sebagai jogho..

p/s: Sekarang sibuk bersama Din dan Mat Le mengumpul istilah2 pantai timur yang jarang digunakan oleh generasi muda dan letak dalam Twitter.. Kayonyo Bahaso Kito~

 

Peperiksaan..

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Dah agak lama tak mengemaskini blog ni. Agak sibuk sikit. Ya. Agak sibuk. Sibuk untuk peperiksaan “repeat” yang bakal menjelang. Sibuk untuk mentajdidkan diri. Sibuk dalam mentajdidkan iman yang semakin hari semakin pudar nampaknya. Sibuk untuk menghadapi segala macam ujian yang datang kepada diri ini.

Peperiksaan universiti RGUHS semakin hampir. tetapi tarikhnya tidak tahu bila. Pelikkan? Kami sudah bertanyakan kepada pihak kolej adakah boleh meminta pihak universiti untuk mengeluarkan kalendar akademik. Tetapi usaha itu berakhir dengan dimarahi oleh pengarah kolej. Jadi, terpaksalah kami pulun sepulun-pulunnya dengan kudrat yang ada pada tulang empat kerat ini. (Info : tulang manusia bukannya ada 4 kerat sahaja). Tetapi apakan daya, selagi langit belum menumpahkan gerimis, kain jemuran tidak diangkat. (Wow, peribahasa baru!). Maka, selagi tidak terasa akan bahang untuk menghadapi peperiksaan, maka kerap kali terganggu usaha murni untuk mengulang kaji pelajaran. Dan, sekarang bila dah dekat barulah kalut membuka buku, seperti berlarinya orang yang kena cirit ke tandas (Metafora baru lagi!)

Selain itu, ada lagi peperiksaan. Yang ini tidak boleh dielakkan. Kita tahu bahawa Allah S.W.T. kadang2 tidak akan memberikan permintaan kita seperti yang kita minta. (bukannya Allah itu loyar buruk!). Kita minta kepada Allah untuk kaya. Kita hendaklah usaha dan doa. Baru rezeki itu Allah bagi atas sebab usaha. Bila kita minta untuk dapat ketenangan, bukannya terus dapat tenang (walaupun Allah kadang2 bagi macam tu aje terus). Kadang2 kita dapat rasa tenang bila baca al-Quran (sambil faham. baca saja macam keretapi efeknya tak ampuh). Kadang2 tenang itu Allah bagi bila kita dapat selesaikan masalah (sebelum ni serabut sebab masalah) samada secara sendiri atau melalui bantuan sahabat terdekat mahupun keluarga dan kaum kerabat. Maka, apabila datang ujian, hendaklah bersabar. Jangan membenci masalah kerana datangnya masalah akan menjadikan kita lebih kuat untuk menghadapi masalah. Ingatlah, Allah tidak membebankan hamba-Nya dengan beban yang tak dapat dipikul olehnya.

Seperti contohnya, minggu ini saya rasa agak banyak dugaan yang diberikan (ambik contoh sendiri, orang lain tak tahu pulak apa masalah mereka secara detail). Saya selaku penjaga gol tetap (sebab nak lari untuk kejar bola tak berskill dan juga tak larat) sudah 3 kali kena bola yang dirembat secara laju dan kali ketiganya berakhir dengan bola mengenai ehem ehem. Maka saya terpaksa direhatkan daripada permainan. Lepas tu, hari ini ibu jari pula terseliuh akibat menahan bola dengan teknik yang salah (tahan dengan tangan terbuka luas macam nak tampar bola). Ujian itu untuk kita ingat kepada Allah (yg kita selalu lupa kepada DIA). Ujian juga adalah untuk menghapuskan dosa (dosa melambak-lambak). Ujian juga adalah untuk memberi peringatan kepada kita akan apa yang kita lakukan supaya tidak berulang di masa hadapan.

Ujian mematangkan diri. Jadi, tempuhlah ujian dengan sabar. Jangan sumpah seranah dihamburkan semata-mata untuk memuaskan rasa hati (oppsss..)tetapi sebenarnya hati tersiksa, nafsu berasa lega, setan menjadi bangga. Apa yang telah berlalu jadikan sebagai pengajaran. Allah Maha Pengampun dan penerima taubat. Jadikan apa yang ada dihadapan untuk menjadikan diri kita lebih berjaya.

Jadi, semoga kita dapat menjadikan diri kita hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

 
Leave a comment

Posted by on April 22, 2011 in Psyco aku.., untuk kita semua...