RSS

Daily Archives: January 18, 2012

Minda itu perlu bercambah..

Assalamualaikum..

Saya di India hanya mampu melihat melalui Youtube, blog-blog, laman web akhbar semasa (samada yang berpihak kepada kerajaan atau pembangkang) akan isu-isu semasa berlaku di negara. Dunia dah maju, maka gunakanlah segala kemodenan yang ada untuk mendapatkan manfaat. Pesanan itu dari En. Khairuddin Abdullah, bekas Konsul Pelajaran di Kedutaan Malaysia di Chennai, India. Keputusan kes liwat II Dato’ Seri Anwar Ibrahim saya ketahui melalui komputer riba sambil memasak nasi lemak di dapur rumah sewa.

Masa kini, saya berpandangan sebahagian generasi muda kurang pengetahuan am dan juga pengetahuan dalam isu-isu semasa. Tak kiralah isu politik, isu ekonomi, kebajikan rakyat dan segala yang seangkatan dengannya. Masing-masing hanyut dalam lautan hiburan, kononnya hendak melepaskan tekanan belajar. Baiklah, itu alasan mereka. Tapi, tahukah mereka, bahawa betapa pentingnya mereka ambil kisah akan setiap yang berlaku dalam sekitar mereka? Tidakkah kita berasa malu jika ada anak muda yang tidak tahu akan apa yang berlaku dalam isu semasa negara? Lagi memalukan apabila ada rakyat Malaysia tidak mengetahui siapakah Yang DiPertuan Agong.

Sewaktu zaman sekolah menengah saya, keadaan berbeza. Kami mengetahui akan hal ehwal semasa. Kes Abdul Razak Baginda dengan pembunuhan Altantuya kami ambil tahu. Nama-nama menteri kabinet kerajaan kami tahu. Pandangan pihak pembangkang mengenai isu semasa kami cari melalui internet dan akhbar. Dan ini paling menarik, guru Bahasa Melayu kami akan memulakan kelas dengan kupasan isu semasa dan pelajar diberikan peluang untuk melontarkan idea dan pandangan. Pelbagai kenyataan dikeluarkan. Ada yang kelihatan menyokong kerajaan, ada yang menyokong pembangkang, adan ada yang bersifat neutral. Apa yang menarik ialah guru kami akan membual kesimpulan terhadap perbincangan kami. Di hujungnya, kami dapat mengetahui pandangan sesuatu isu dari pelbagai sudut pandangan. Dan ini amatlah elok untuk akal yang sihat. Minda perlukan input dari sudut pandangan lain untuk ia bercambah agar ia terus waras, segar dan matang.

Salah satu aktiviti yang saya dan rakan-rakan saya yang lain (rakan yang sekepala) ialah ke perpustakaan, membaca majalah Dewan Masyarakat, Dewan Ekonomi, Pelita Bahasa, Dewan Siswa dan Dewan Sastera. Tujuannya, ialah supaya kami mendapat input sebanyak mungkin dalam hal-hal semasa. Ekonomi, politik, sosial, budaya. Kemudiannya, kami melanggan daripada seorang guru Bahasa Melayu kami, Cikgu Paridah Ali. Kemudiannya sekolah kami melanggan akhbar harian, satu untuk setiap kelas. Maka lagi mudah untuk kami mendapatkan maklumat. Jika ada masa, sambil membasuh baju, berjalan-jalan di taman bunga, atau ke masjid, kami akan berbincang dan bertukar-tukar idea tentang isu semasa. Sangat membantu. Menambahkan pengetahuan dan menjadikan kami untuk berfikir di luar kotak stereotaip. Dan menambah isi untuk karangan Bahasa Melayu kami. Ya, perangkaan dan statistik dari badan-badan tertentu menjadikan isi karangan kami lebih kukuh dari segi pembuktian.

Kelesuan minda amatlah kami takuti semasa di sekolah menengah. Setiap bahan bacaan yang ada yang berkaitan dengan perihal yang kami perlu ketahui, kami baca. Dari kulit ke kulit. Begitulah aktiviti kami. Rakan-rakan saya yang begitu setia dalam ‘amalan’ ini ialah Nik Mohd Ali atau kami panggil dia Nelly, Khalid Karsiman atau Kholid, Yufazlie Yusof atau lebih mesra dengan Palie, dan sekali-sekala disertai oleh Zakiran Zakaria atau Kirae. Saya berpendapat sangat bermakna, kerana minda itu sentiasa berpusing akan mencerna pandangan, fakta mengenai sesuatu isu. Masing-masing akan mengeluarkan padangan dan berdebat akan sesuatu isu. Dahulu isu minyak juga kami bincangkan, isu kewangan semasa dan penglibatan yahudi zionis dalam negawal kedudukan matawang dunia. Disitu kami kenal George Soros, IMF, tambatan ringgit. Sangat membuka minda kami.

Tetapi kini alangkah lesunya minda generasi muda. Manakan tidak. Novel-novel picisan bermotifkan cinta meleret-leret meleleh-leleh, sayu syahdu jiwang jiwa lara itu di tangan mereka. Jarang melihat anak-anak milenium menatap majalah atau buku-buku yang bersifat menggalak minda untuk berfikir. Memang ia menggalakkan industri percetakan novel, tetapi impaknya apa? Sehingga kini jika saya ke kedai buku dah membeli sejumlah majalah dan buku yang berkisar tentang isu semasa, ramai yang aka menjeling. Kenapa ini berlaku? Kerana mereka jarang atau tidak pernah untuk membaca dan mencerna akan makalah seperti itu. Novel-novel yang semuanya bertema cinta diborong. Hanyut dalam khayalan. Majalah dan buku hasil perahan pemikiran pemikir negara dibiarkan berhabuk dan menjadi peneman setia rak buku di perpustakaan sahaja. Buku-buku hasil pemikiran penulis luar negara juga kurang diterjemah kepada bahasa Melayu. Bukan sahaja tiada usaha di pihak swasta, tetapi juga di pihak Institut Terjemahan Negara. Kenapa? Jika diterjemahkan pun, berapa buah naskah yang akan dibeli. Segala usaha terjemahan tak berbaloi.

Jadi, cubalah isi minda kita dengan perkara-perkara yang berfaedah. Dengan pengetahuan yang jika dihitung, akan memberi faedah kepada kita. Percambahan minda itu menguntungkan. Mematangkan minda. Tidak menjadikan kita jumud dan tidak terkurung dengan satu sudut pandangan sahaja. Tidak menjadikan kita konservatif. Membuka minda kita untuk menerima idea lain. Itulah ilmu. Dan ia berhasil dengan matangnya pemikiran. Berpunca dari mana dan bagaimana kita mengisi minda kita. Apa yang kita baca dan apa yang kita dapat dari pembacaan kita.

Membaca memajukan minda untuk memacu bangsa kepada berjaya.

Sekian~

Advertisements